Kepentingan Rancangan Kerja



Terdapat beberapa kepentingan rancangan kerja iaitu antaranya adalah untuk mencapai dan menepati set objektif atau matlamat yang telah ditetapkan, menentukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk memilih dan menggunakan strategi pengajaran yang paling baik dan berkesan sepanjang waktu pengajaran. Selain itu, sumber pengajaran juga dapat digunakan semaksimum yang mungkin. Guru merupakan sumber pengajaran utama di mana penglibatan guru dapat memainkan peranan yang besar dalam proses pengajaran.

Ilmu, kepakaran dan pengalaman guru dapat memastikan pelajar mendapat input serta pengetahuan yang sepatutnya. Guru yang menggerakkan para pelajar agar terlibat di dalam kelas serta penggunaan kelas atau ruang belajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak sama ada oleh guru dan pelajar kerana persekitaran juga dapat mempengaruhi tahap motivasi dan pencapaian pelajar. Masa yang diperuntukkan seharusnya dipenuhi dengan aktiviti yang dapat memberikan manfaat pada pelajar terutamanya di mana mereka dapat menggunakan aktiviti dan terlibat dengan proses membina pengalaman baru serta membangunkan pengetahuan sedia ada.

Penggunaan alat atau bahan bantu mengajar dapat membantu proses pengajaran seperti penggunaan buku teks, buku rujukan, lampiran nota, buku latihan serta penggunaan alat audio visual seperti LCD projektor, komputer, video, dan televisyen. Ia dapat menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan. Guru seharusnya bijak menggabungkan kesemua elemen yang dinyatakan dan tidak hanya memastikan bahawa sukatan pelajaran dapat dihabiskan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Rancangan Kerja

Rancangan kerja adalah perancangan yang disediakan secara sistematik dan teratur oleh seseorang guru mata pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (Shahabuddin, H., Rohizani, Y., & Mohd. Zohir, A., 2003). Rancangan kerja merupakan satu program yang terdiri daripada topik-topik dalam sukatan pelajaran yang disusun untuk setahun. Rancangan kerja disediakan pada awal tahun sebelum tahun akademik bermula. Kepentingan rancangan kerja ialah ia membolehkan guru merancang dan bersedia untuk mengajar pelajarnya dengan terancang dan teratur.



Kategori Rancangan Kerja

Rancangan kerja dapat dibahagikan kepada empat seperti yang dinyatakan oleh Esah Sulaiman (2004), iaitu:

Rancangan Kerja Tahunan

Rancangan kerja tahunan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan merupakan perancangan kurikulum untuk setiap mata pelajaran setiap tahun. Dalam rancangan kerja ini, aspek kemahiran, nilai serta kandungan bagi setiap mata pelajaran dinyatakan dan juga aktiviti-aktiviti untuk setiap tahun persekolahan.

Rancangan Kerja Penggal

Rancangan Kerja Penggal atau semester, ianya dibuat berdasarkan Rancangan Kerja Tahunan. Dalam Rancangan Kerja Penggal, perkara seperti objektif pengajaran, kemahiran, isi kandungan, dan aktiviti bagi setiap penggal diputuskan.

Rancangan Kerja Mingguan

Rancangan Kerja Mingguan dibuat berdasarkan Rancangan Kerja Penggal.  Kemahiran-kemahiran yang ada di dalam Rancangan Kerja Penggal akan lebih diperincikan dalam Rancangan Kerja Mingguan untuk diajar dalam setiap minggu di dalam satu penggal.  Perancangan ini mengandungi objektif, kemahiran, isi kandungan, dan aktiviti bagi setiap minggu.

Rancangan Kerja Harian

Rancangan Kerja Harian adalah berdasarkan Rancangan Kerja Mingguan yang telah diperincikan lagi kepada setiap hari dalam seminggu untuk setiap minggu.  Dalam perancangan ini, objektif, kemahiran, isi kandungan, aktiviti, dan bahan bantu mengajar dinyatakan bagi setiap hari.

Langkah Penyediaan Perancangan Pengajaran


Perancangan pengajaran terbahagi kepada perancangan pengajaran semester, perancangan pengajaran mingguan dan perancangan pengajaran harian. Bagi memastikan segala objektif pengajaran tercapai, beberapa langkah penyediaan perancangan pengajaran perlu diteliti. Langkah pertama setelah mengetahui subjek yang perlu diajar, guru perlu menyenaraikan minggu persekolahan mahupun minggu pengajian selama setahun. Tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan oleh guru ialah guru perlu menandakan serta memastikan hari cuti awam dan cuti persekolahan. Ini adalah bertujuan bagi memastikan pengajaran tidak terganggu dengan kehadiran cuti awam dan cuti persekolahan serta guru dapat mencapai objektif pengajaran tepat pada masa yang ditentukan.
Guru juga perlu menyemak jadual pengajaran dan membuat pengiraan waktu mengajar bersih dalam tempoh setahun waktu persekolahan. Langkah terakhir perlu dilakukan oleh guru dalam menyediakan perancangan pengajaran adalah merancang aktiviti yang ingin dijalankan dan mengenalpasti waktu yang sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut.



Definisi Perancangan Pengajaran dan Kepentingan Perancangan Pengajaran

Guru perlu membuat perancangan bagi sesi pengajarannya. Menurut Burden & Byrd (1999), perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran. Proses guru membuat keputusan tentang cara memilih dan menyusun pengalaman pembelajaran yang dapat memaksimumkan pencapaian serta kepuasaan guru dan juga pelajar (Cruickshank, 1995). Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan bagaimana untuk diajarkan supaya dapat difahami pelajar.


Rancangan pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah atau makmal dalam satu jangka masa tertentu.

Kepentingan Perancangan Pengajaran


Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Melalui perancangan pengajaran yang teliti, guru dapat menentukan jarak, urutan dan penekanan kepada isi setiap pelajaran. Topik – topik yang penting dalam peperiksaan akan diberikan keutamaan oleh guru dan diberi penerangan dengan lebih teliti. 

Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru sepanjang setahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan pelajar. Ini dapat memberi panduan kepada guru agar dapat menggunakan masa yang diperuntukkan dengan lebih teratur. Menyusun atur masa dengan tepat juga dapat memastikan sukatan pelajaran dihabiskan pada masa yang telah ditetapkan mengikut perancangan.

Melalui perancangan pengajaran, guru juga dapat menyediakan bahan – bahan pengajaran yang bersesuaian dengan isi pelajaran mengikut minat dan kebolehan pelajar. Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


Selain itu, guru juga dapat menentukan strategi pendidikan, pemulihan dan pengajaran secara tersusun dan bersistem. Melalui perancangan pengajaran, objektif pengajaran dapat dicapai. Guru mengetahui sasaran yang ingin dituju dalam setiap subjek yang ingin diajar.







Perancangan Pengajaran


Perancangan perlu dilakukan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menepati kehendak, objektif dan matlamat pembelajaran. Perancangan mengikut konsep pengajaran dan pembelajaran terbahagi kepada empat peringkat iaitu pra perancangan, perancangan aktif, perancangan semasa dan pasca perancangan. Pra perancangan menerangkan tentang gambaran mental guru terhadap keseluruhan pengajaran, potensi pengetahuan sedia ada murid, isi kandungan pelajaran, strategi dan bahan yang diperlukan. Perancangan aktif memerlukan guru menulis rancangan mengajar, menyediakan nota, memastikan alat bantu mengajar berfungsi dengan baik dan menyediakan senarai semak. Perancangan semasa meliputi aspek di mana guru perlu mendapatkan maklum balas tentang kefahaman pelajar, mengubahsuai mengikut keperluan dan keadaan semasa dan mengaitkan serta mengulangi pelajaran sebelumnya. Peringkat terakhir adalah pasca perancangan iaitu guru perlu mengenalpasti  kelemahan pengajaran dan mengesan kekuatan pengajaran. 

Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti  untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Pendapat ini disokong oleh Thomas F. Green (1971) yang menyatakan tujuan mengajar ialah menukar tingkahlaku dan kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru.