Pengajaran Berkesan

Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu atau kemahiran tertentu. Menurut Thomas F. Green (1971), tujuan mengajar ialah menukar tingkahlaku dan kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru. Oleh itu, proses pengajaran meliputi aktiviti latihan, perlaziman, tunjuk ajar yang akan menukar tingkah laku laku dan membawa pengetahuan atau kepercayaan baru kepada murid. Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran melibatkan kegiatan tertentu seperti merancang, menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, memilih strategi pengajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penilaian terhadap satu-satu pengajaran. 



Pengajaran dirancang oleh guru secara sistematik dan teliti dengan gabungan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar demi memperolehi ilmu dan pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Pengajaran juga merupakan suatu cara menyampaikan ilmu pengetahuan, mendidik, melatih, dan memberikan petunjuk atau nasihat kepada pelajar serta melibatkan aktiviti dan proses yang dituju kepada pelajar bertujuan membawa perubahan kepada mereka. 

Dalam proses pengajaran, guru harus tahu memperbaiki kelakuan dengan memberi nasihat kepada pelajar-pelajar. Para guru juga perlu melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu perkara berdasarkan pengalamannya sebagai seorang guru. Mereka harus tahu jenis kemahiran yang hendak dibentuk serta perubahan yang dikehendaki dan memastikan sesuatu aktiviti yang dirancang adalah untuk membawa perubahan yang positif kepada murid. Pengajaran merupakan satu tindakan yang bertujuan untuk membawa perubahan dari segi kepercayaan, nilai dan makna. Oleh itu, guru berperanan dalam menyalurkan pengetahuan, kemahiran dan nilai agar  perkara tersebut dapat berfungsi dengan baik dalam kehidupan pelajar. 

Ringkasnya pengajaran ialah menyatakan kesanggupan mencari ilmu sepanjang hayat, menghormati kanak-kanak atau remaja dan berkongsi pengetahuan sesama mereka. Pengajaran juga merupakan proses dan aktiviti  membimbing, mengarah, membantu, menyubur dan merancang serta menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan murid. Para guru harus menghadapi pelbagai cabaran diri dan perlu bertindak secara profesional dalam kerjaya yang diceburi. Mereka perlu menyalurkan nilai budaya dan kebangsaan serta mewujudkan kesedaran dan penghargaan terhadap potensi diri sendiri (Evans & Brueckner, 1992).