Kepentingan Rancangan Kerja



Terdapat beberapa kepentingan rancangan kerja iaitu antaranya adalah untuk mencapai dan menepati set objektif atau matlamat yang telah ditetapkan, menentukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk memilih dan menggunakan strategi pengajaran yang paling baik dan berkesan sepanjang waktu pengajaran. Selain itu, sumber pengajaran juga dapat digunakan semaksimum yang mungkin. Guru merupakan sumber pengajaran utama di mana penglibatan guru dapat memainkan peranan yang besar dalam proses pengajaran.

Ilmu, kepakaran dan pengalaman guru dapat memastikan pelajar mendapat input serta pengetahuan yang sepatutnya. Guru yang menggerakkan para pelajar agar terlibat di dalam kelas serta penggunaan kelas atau ruang belajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak sama ada oleh guru dan pelajar kerana persekitaran juga dapat mempengaruhi tahap motivasi dan pencapaian pelajar. Masa yang diperuntukkan seharusnya dipenuhi dengan aktiviti yang dapat memberikan manfaat pada pelajar terutamanya di mana mereka dapat menggunakan aktiviti dan terlibat dengan proses membina pengalaman baru serta membangunkan pengetahuan sedia ada.

Penggunaan alat atau bahan bantu mengajar dapat membantu proses pengajaran seperti penggunaan buku teks, buku rujukan, lampiran nota, buku latihan serta penggunaan alat audio visual seperti LCD projektor, komputer, video, dan televisyen. Ia dapat menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan. Guru seharusnya bijak menggabungkan kesemua elemen yang dinyatakan dan tidak hanya memastikan bahawa sukatan pelajaran dapat dihabiskan dalam tempoh yang telah ditetapkan.