Persediaan Rancangan Kerja




Menurut Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad (2003), guru harus melalui proses-proses berikut dalam penyediaan rancangan kerja iaitu meneliti sukatan pelajaran, mentafsir sukatan pelajaran, diikuti dengan menyediakan rancangan mengajar.

Meneliti Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran terdiri daripada matlamat, objektif organisasi dan kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan. Huraian sukatan pelajaran haruslah dinilai dan dijadikan sebagai rujukan oleh guru bagi menerangkan dan memperjelaskan perkara-perkara yang terkandung dalam sukatan pelajaran.

Mentafsir Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran merujuk kepada satu dokumen yang mengandungi susunan topik-topik yang disediakan untuk sesuatu mata pelajaran. Ia mempunyai objektif pengajaran pembelajaran yang tersendiri. Ia disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum ( PPK). Dalam sukatan pelajaran, diperuntukkan kandungan ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran yang perlu dicapai dan dikuasai bagi setiap mata pelajaran. Berdasarkan sukatan pelajaran dan buku panduan khas, seorang guru  perlu merancang strategi pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan pelajar memperolehi hasil yang optimum.

Guru seharusnya dapat menguasai kemahiran merancang rancangan kerja berdasarkan penelitian dan pentafsiran sukatan pelajaran yang telah diluluskan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. Aspek-aspek penting dalam sukatan pelajaran seperti unit-unit pembelajaran, objektif-objektif pengajaran dan kemahiran-kemahiran yang ingin dicapai. Strategi dan aktiviti pengajaran pembelajaran yang akan digunakan haruslah bersesuaian dengan minat dan tahap keupayaan pelajar. Selain itu, penggunaan sumber serta bahan pengajaran haruslah juga dirancang dan disediakan memandangkan ia yang merupakan alat bantu mengajar yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Menyediakan Rancangan Kerja

Perancangan pengajaran yang baik amat penting untuk menjayakan satu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu merancang isi pelajaran, teknik mengajar, alat bahan bantu mengajar (ABBM) agar pengajaran pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Menyediakan Rancangan Mengajar

Bagi memulakan sesuatu pengajaran, guru harus menyedia dan merancang persediaan mengajar sebelum sesi pengajaran bermula. Persediaan mengajar haruslah dibuat sehari sebelum pengajaran supaya guru lebih bersedia dan yakin dengan pendekatan, kaedah, teknik serta bahan dan alat yang digunakan.

Kesimpulan 

Oleh itu, rancangan kerja merupakan satu kaedah yang sistematik dan berkesan bagi melahirkan guru yang cemerlang selaras dengan profesion keguruan yang mana dokumen rasmi tersebut akan dirujuk dan disemak oleh pihak pengurusan sekolah, pegawai-pegawai jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan.