Rancangan Kerja

Rancangan kerja adalah perancangan yang disediakan secara sistematik dan teratur oleh seseorang guru mata pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (Shahabuddin, H., Rohizani, Y., & Mohd. Zohir, A., 2003). Rancangan kerja merupakan satu program yang terdiri daripada topik-topik dalam sukatan pelajaran yang disusun untuk setahun. Rancangan kerja disediakan pada awal tahun sebelum tahun akademik bermula. Kepentingan rancangan kerja ialah ia membolehkan guru merancang dan bersedia untuk mengajar pelajarnya dengan terancang dan teratur.



Kategori Rancangan Kerja

Rancangan kerja dapat dibahagikan kepada empat seperti yang dinyatakan oleh Esah Sulaiman (2004), iaitu:

Rancangan Kerja Tahunan

Rancangan kerja tahunan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan merupakan perancangan kurikulum untuk setiap mata pelajaran setiap tahun. Dalam rancangan kerja ini, aspek kemahiran, nilai serta kandungan bagi setiap mata pelajaran dinyatakan dan juga aktiviti-aktiviti untuk setiap tahun persekolahan.

Rancangan Kerja Penggal

Rancangan Kerja Penggal atau semester, ianya dibuat berdasarkan Rancangan Kerja Tahunan. Dalam Rancangan Kerja Penggal, perkara seperti objektif pengajaran, kemahiran, isi kandungan, dan aktiviti bagi setiap penggal diputuskan.

Rancangan Kerja Mingguan

Rancangan Kerja Mingguan dibuat berdasarkan Rancangan Kerja Penggal.  Kemahiran-kemahiran yang ada di dalam Rancangan Kerja Penggal akan lebih diperincikan dalam Rancangan Kerja Mingguan untuk diajar dalam setiap minggu di dalam satu penggal.  Perancangan ini mengandungi objektif, kemahiran, isi kandungan, dan aktiviti bagi setiap minggu.

Rancangan Kerja Harian

Rancangan Kerja Harian adalah berdasarkan Rancangan Kerja Mingguan yang telah diperincikan lagi kepada setiap hari dalam seminggu untuk setiap minggu.  Dalam perancangan ini, objektif, kemahiran, isi kandungan, aktiviti, dan bahan bantu mengajar dinyatakan bagi setiap hari.