Jenis – Jenis Kurikulum

Berlandaskan teori dan matlamat kurikulum maka wujudlah pelbagai jenis kurikulum dari semasa ke semasa mengikut perubahan keperluan pendidikan negara. Jenis – jenis kurikulum antaranya ialah Kurikulum Ideal, Kurikulum Rasmi, Kurikulum Formal, Kurikulum Operasi, Kokurikulum, Kurikulum Teras, Kurikulum Integrasi dan Kurikulum Aktiviti.

Kurikulum Ideal

Kurikulum ideal ialah kurikulum yang digubal dan dibentuk berlandaskan pedagogi, psikologi dan teori kurikulum.Kurikulum Ideal mengandungi unsur – unsur utama yang terdapat dalam falsafah dan matlamat pendidikan Negara, kehendak dan aspirasi masyarakat. Komponen – komponen yang terdapat dalam kurikulum ideal antaranya ialah Matlamat dan Tujuan Kurikulum, Sukatan Pelajaran dan Huraiannya, Bahan – Bahan Pelajaran termasuk Buku Panduan Guru, Sistem Pelaksanaan dan Penilaian Kurikulum. Kurikulum idea dibentuk oleh pakar kurikulum dengan merujuk kepada pandangan – pandangan orang yang terlibat dalam sistem pendidikan persekolahan termasuk ahli – ahli pendidikan tinggi.

Kurikulum Rasmi

Di Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum adalah bertanggungjawab mengubal dan membentuk kurikulum rasmi bagi sekolah rendah dan sekolah menengah seperti KBSR dan KBSM. Kurikulum rasmi menjadi panduan asas untuk penulisan buku teks, persediaan ringkasan mengajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta panduan dalam setiap peringkat persekolahan kebangsaan.

Kurikulum Formal

Kurikulum formal adalah berlandaskan matlamat pendidikan negara dan mengandungi segala isi pengajaran dan pembelajaran serta penilaian di dalam bilik darjah, termasuk aktiviti – aktiviti kokurikulum yang merujuk kepada aktiviti – aktiviti persatuan, kelab, permainan dan unit beruniform. Kurikulum formal merangkumi kurikulum akademik yang dilaksanakan melalui kurikulum pengajaran dan kurikulum operasi. Penggubalan kurikulum ini adalah diuruskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Negara.

Kurikulum Operasi

Kurikulum operasi adalah merujuk kepada ringkasan mengajar yang disediakan oleh guru, mengikut jadual waktu sekolah dan sukatan pelajaran yang terkandung dalam kurikulum rasmi atau kurikulum formal.

Kokurikulum

Kokurikulum dikenali sebagai kurikulum tambahan atau pendidikan pada waktu lapang atau aktiviti kelas tambahan. Aktiviti – aktiviti kokurikulum merupakan sebahagian kurikulum formal yang merangkumi aktiviti – aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan serta unit beruniform yang dijalankan di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum tidak termasuk dalam jadual waktu mata pelajaran di sekolah. Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti di luar sukatan pelajaran dan disertai oleh pelajar mengikut kepandaian dan minat mereka. Kokurikulum adalah bertujuan  bagi mengembangkan keperluan intelek, kebolehan dan bakat, meluaskan ilmu pengetahuan, meningkatkan kesihatan, meningkatkan kemahiran pemikiran dan memupuk nilai- nilai murni di kalangan pelajar.

Kurikulum Teras

Kurikulum teras dibentuk berlandaskan kurikulum roda yang mula digunakan pada awal abad ke-20. Pembentukan kurikulum ini ialah menggabungjalinkan satu demi satu tema agar menjadi perhubungan baru di antara mata pelajaran. Kurikulum teras mengutamakan perkembangan individu dan keperluan masyarakat. Masa pengajaran diperuntukkan kira – kira 40% bagi mengajar mata pelajaran teras manakala masa yang lain adalah digunakan bagi mengajar mata pelajaran pilihan. Oleh itu, setiap pelajar wajib mengambil pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Sejarah.

Kurikulum Integrasi

Kurikulum Integrasi ialah kurikulum penyerapan atau kurikulum mata pelajaran gabungan. Kurikulum ini menggabungkan beberapa mata pelajaran yang berkaitan dan menghasilkan mata pelajaran baru. Contohnya mata pelajaran Kajian Tempatan dalam KBSR adalah merangkumi unsur – unsur sejarah, geografi dan kewarganegaraan.Mata pelajaran Sains KBSM pula merangkumi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi.

Kurikulum Aktiviti

Kurikulum aktiviti pula dikenali sebagai kurikulum pengalaman atau kurikulum berpusatan pelajar kerana kurikulum aktiviti adalah dirancang dan dibentuk berlandaskan minat dan keperluan. Ciri – ciri kurikulum aktiviti ialah:

(a) Aktiviti digunakan sebagai pusat kurikulum. Isi pelajaran dihadkan kepada pengalaman harian pelajar memerlukan pelajar belajar melalui kaedah praktik iaitu belajar daripada kehidupan seharian dan pengalaman diri sendiri.

(b) Isi kandungan kurikulum adalah dipilih berdasarkan minat dan keperluan pelajar serta mengikut perbezaan individu.

(c) Bentuk mata pelajaran diubah dengan menjadi bentuk sintesis sebagai tugasan dan aktiviti.