Perancangan perlu dilakukan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menepati kehendak, objektif dan matlamat pembelajaran. Perancangan mengikut konsep pengajaran dan pembelajaran terbahagi kepada empat peringkat iaitu pra perancangan, perancangan aktif, perancangan semasa dan pasca perancangan. Pra perancangan menerangkan tentang gambaran mental guru terhadap keseluruhan pengajaran, potensi pengetahuan sedia ada murid, isi kandungan pelajaran, strategi dan bahan yang diperlukan. Perancangan aktif memerlukan guru menulis rancangan mengajar, menyediakan nota, memastikan alat bantu mengajar berfungsi dengan baik dan menyediakan senarai semak. Perancangan semasa meliputi aspek di mana guru perlu mendapatkan maklum balas tentang kefahaman pelajar, mengubahsuai mengikut keperluan dan keadaan semasa dan mengaitkan serta mengulangi pelajaran sebelumnya. Peringkat terakhir adalah pasca perancangan iaitu guru perlu mengenalpasti kelemahan pengajaran dan mengesan kekuatan pengajaran.
Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sisitematik dan teliti untuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Pendapat ini disokong oleh Thomas F. Green (1971) yang menyatakan tujuan mengajar ialah menukar tingkahlaku dan kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru.