Terdapat pelbagai pendapat mengenai maksud pengajaran berkesan. Pengajaran berkesan bermaksud seorang pengajar atau guru yang harus memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai sesuatu ilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran atau teknik profesional yang tinggi (Dunne, R. & Wragg, T., 1994). Mereka berpendapat yang pengajaran berkesan menuntut guru untuk memahami isi kandungan sesuatu mata pelajaran dan memiliki ilmu pengetahuan mengenai topik dan perkara yang hendak diajar serta perlu menyiapkan diri dengan kemahiran tertentu dari aspek pengurusan kelas, menyoal soalan, penerangan yang jelas dan pemantauan proses pembelajaran.
Leblanc (1998) pula berpendapat bahawa pengajaran berkesan bermaksud pengajaran oleh guru yang penyayang, mengambil berat terhadap kebajikan pelajar, memberi sokongan kepada pelajar, dan berpengetahuan tentang mata pelajaran yang diajar. Manakala menurut Hunter (1995), pengajaran berkesan merupakan pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar. Antara pendapat lain pula menyatakan bahawa guru berkesan dan boleh membantu pelajar (Cruickshank, 1995).
Jika diperhatikan di sini, terdapat persamaan antara pandangan yang diberikan oleh Cruickshank dan Hunter di mana mereka berpendapat bahawa pengajaran boleh meningkatkan pembelajaran pelajar. Pengajaran berkesan dapat disimpulkan sebagai pengajaran yang menyedia dan mewujudkan suasana yang sihat bagi menggalakkan pelajar untuk terus belajar. Perkara ini disokong oleh Shahril (2004) yang mendefinisikan pengajaran berkesan sebagai kebolehan dan kemampuan guru untuk menyampaikan maklumat pengajaran dengan baik dan juga berkesan, di mana secara tidak langsung dapat memotivasikan diri pelajar untuk terus cemerlang mencapai kejayaan. Guru berkesan merupakan keupayaan guru dalam menyampaikan pengajaran yang memberi kesan terhadap beberapa aspek termasuklah dapat memotivasikan pelajar seperti dinyatakan oleh Malikow, M. (2006). Ianya dapat diaplikasikan dengan pelbagai kaedah pengajaran, bahan bantu mengajar, dan kemahiran melaksanakan aktiviti. Dalam konteks ini, guru seharusnya merancang topik, objektif, isi, cara penyampaian dan penilaian yang sesuai dengan kebolehan sedia ada dan minat pelajar.
Terdapat beberapa ciri-ciri pengajaran, di antaranya adalah guru sebagai pengajar dan murid pula merupakan pelajar. Pengajaran bermakna jika pembelajaran berlaku.
Pengajaran akan melibatkan latihan atau tugasan, pemikiran dan penggunaan simbol serta melibatkan pelbagai aktiviti antara guru dan pelajar. Ciri-ciri pengajaran meliputi rancangan mengajar, objektif pelajaran, tempat belajar, ABBM, kaedah dan teknik mengajar serta proses yang melibatkan interaksi dua hala antara pelajar dan guru. Strategi pengajaran mengandungi unsur sains dan unsur seni.
Dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran, guru haruslah memainkan peranan yang penting agar objektif pengajaran yang telah ditetapkan dapat dicapai pada akhir sesi pengajaran. Menurut Brown, G. & Atkins, M (1988) pengajaran berkesan menuntut kepada tenaga pengajar untuk mengetahui dan mendalami sesuatu mata pelajaran yang diajar. Antara ciri-ciri guru berkesan adalah guru yang mempunyai kepakaran dan kecekapan dalam subjek yang diajar, boleh mempelbagaikan kaedah mengajar, boleh memberi penerangan yang jelas tentang perkara yang hendak disampaikan dan enthusiasm. Guru juga perlulah memastikan bahawa proses pengajaran tersebut berlaku dengan melibatkan interaksi dua atau pelbagai hala dengan pelajar. Oleh itu, penglibatan pelajar dalam pengajaran perlu ditiitkberatkan. Menurut Slavin (1984), beliau telah memperkenalkan beberapa elemen dalam model pengajaran berkesan berdasarkan perkara seperti berikut:
(a) Kualiti Pengajaran
Pengajaran yang berkualiti terjadi apabila maklumat yang disampaikan boleh diterima, menarik minat, dan mudah untuk diingati serta dilakukan oleh pelajar.
(b) Tahap Kesesuaian Pengajaran
Tahap keupayaan pelajar dalam penerimaan pembelajaran perlu dipertimbangkan. Kebolehan pelajar adalah berbeza-beza dengan mengambil kira latar belakang pendidikan, tahap kecerdasan dan lain-lain. Guru harus bijak menggunakan kaedah dan strategi mengikut tahap penerimaan pelajar itu sendiri.
(c) Insentif
Galakan dan insentif daripada guru adalah penting bagi menarik minat serta menggalakkkan pelajar agar terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung atau tidak langsung. Pemberian pujian serta hadiah harus dipertimbangkan oleh guru bagi mewujudkan suasana yang bermotivasi. Guru perlu menunjukkan bagaimana pelajar boleh mencapai kemajuan. Galakan yang berterusan adalah lebih baik kerana proses pengajaran adalah secara berterusan serta puji-pujian perlu diberikan pada tempat yang sepatutnya supaya pelajar dapat mengenal pasti dan mengetahui kejayaan mereka. Dengan penghargaan yang diberikan, ianya dapat membantu menggalakkan penglibatan para pelajar di dalam kelas dan meningkatkan motivasi mereka untuk belajar.
(d) Masa
Penggunaan masa yang betul dapat memastikan sukatan pelajaran dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Perancangan pengajaran yang bertepatan dengan objektif pengajaran dapat memastikan hasil yang berkualiti.
Kesimpulan
Pengajaran merupakan aktiviti intelek. Ia melibatkan pemikiran, perasaan, dan penilaian. Pengajaran juga merupakan satu sistem aktiviti yang ditujukan kepada pelajar-pelajar dengan harapan akan membawa perubahan tingkah laku di kalangan mereka. Terdapat dua jenis pengajaran iaitu pengajaran terkini dan tradisional. Proses pengajaran sekarang adalah berpusatkan kepada murid bersesuaian dengan era globalisasi yang menuntut perubahan dalam setiap aspek termasuklah dalam bidang pendidikan. Teknologi yang digunakan haruslah selari dengan perubahan semasa. Oleh itu, dalam perancangan pengajaran, pendekatan, kaedah, teknik dan alat serta sumber yang digunakan haruslah bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar zaman sekarang bagi memastikan objektif dan matlamat pengajaran dapat dicapai dengan cemerlang. Ianya bagi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Berbanding dengan pengajaran tradisional, ianya lebih berpusatkan guru. Guru banyak memberikan input serta ilmu tanpa memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir dan melibatkan secara aktif. Komunikasi satu hala yang dilaksanakan oleh guru tidak bersesuaian memandangkan pengetahuan serta pengalaman pelajar tidak dapat dikembangkan dengan baik kerana pelajar tidak berpeluang untuk berfikir secara kreatif. Pelajar merupakan pembina ilmu yang aktif. Oleh itu, penglibatan pelajar di dalam satu-satu pengajaran adalah penting bagi membantu penerapan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar itu sendiri dan memastikan proses pengajaran berlangsung secara efektif. Pendapat ini disokong oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) yang menyatakan bahawa pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya.