Guru perlu membuat perancangan bagi sesi pengajarannya. Menurut Burden & Byrd (1999), perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran. Proses guru membuat keputusan tentang cara memilih dan menyusun pengalaman pembelajaran yang dapat memaksimumkan pencapaian serta kepuasaan guru dan juga pelajar (Cruickshank, 1995). Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan bagaimana untuk diajarkan supaya dapat difahami pelajar.
Rancangan pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah atau makmal dalam satu jangka masa tertentu.
Kepentingan Perancangan Pengajaran
Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Melalui perancangan pengajaran yang teliti, guru dapat menentukan jarak, urutan dan penekanan kepada isi setiap pelajaran. Topik – topik yang penting dalam peperiksaan akan diberikan keutamaan oleh guru dan diberi penerangan dengan lebih teliti.
Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru sepanjang setahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan pelajar. Ini dapat memberi panduan kepada guru agar dapat menggunakan masa yang diperuntukkan dengan lebih teratur. Menyusun atur masa dengan tepat juga dapat memastikan sukatan pelajaran dihabiskan pada masa yang telah ditetapkan mengikut perancangan.
Melalui perancangan pengajaran, guru juga dapat menyediakan bahan – bahan pengajaran yang bersesuaian dengan isi pelajaran mengikut minat dan kebolehan pelajar. Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, guru juga dapat menentukan strategi pendidikan, pemulihan dan pengajaran secara tersusun dan bersistem. Melalui perancangan pengajaran, objektif pengajaran dapat dicapai. Guru mengetahui sasaran yang ingin dituju dalam setiap subjek yang ingin diajar.